SERDANG – Tiga lelaki warga tempatan ditahan selepas didapati terlibat dalam aktiviti mencuri bekalan elektrik dalam satu serbuan di tiga premis berasingan di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan di sini 5 November lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, tiga individu berusia 29 hingga 54 tahun itu ditahan di tiga premis rumah kedai dalam Ops Api TNB dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad.
“Susulan serbuan yang dilakukan, pihak polis telah berjaya merampas sebanyak 240 buah mesin yang digunakan oleh individu-individu ini untuk menghasilkan matawang kripto bitcoin.
“Soal siasat yang dilakukan mendapati, kesemua suspek telah melakukan pengubahsuaian kepada meter TNB yang dibekalkan agar tidak perlu membayar bil elektrik yang tinggi untuk menjalankan operasi mereka,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini hari ini.
Jelas Razali, tanpa sebarang pengubahsuaian, satu premis perlu membayar kira-kira RM30,000 sebulan namun hasil pengubahsuaian yang dilakukan, mereka hanya membayar kira-kira RM500 sebulan.
“Semakan yang dilakukan mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes kecurian elektrik, khianat dan pernah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
“Dua lagi suspek tiada rekod jenayah lampau dan ketiga-tiga mereka didapati berperanan sebagai penjaga premis dan juruteknik bagi menyelia mesin-mesin yang digunakan untuk aktiviti matawang kripto tersebut,”jelas beliau.
Tambah Razali, kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun jika disabitkan kesalahan. – K! ONLINE