PETALING JAYA – Keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah bermula Isnin lalu bagi mengimbangi keperluan kesihatan dan ekonomi rakyat negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kerajaan membuat keputusan itu selepas melakukan kajian mengenainya.
“Kerajaan sentiasa berusaha meredakan penularan Covid-19 dan beberapa langkah diambil bagi mengimbangi keperluan menjaga kesihatan dan ekonomi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ma’mun Sulaiman sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju dengan kebenaran merentas negeri dan daerah walaupun peningkatan kes Covid-19 masih membimbangkan.
Aaron Ago berkata, meskipun kelonggaran merentas negeri dan daerah diberikan, langkah pencegahan bagi mengekang penularan Covid-19 tetap dilaksanakan secara berterusan. – K! ONLINE