fbpx

Sindiket seludup dadah guna tong gas tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khaw (empat kanan), Mancha (tiga kanan) bersama-sama yang lain menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini.

KUCHING – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dari negeri ini ke negara jiran, yang menggunakan taktik dengan memasukkan dadah ke dalam tong gas.

Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kejayaan itu dicapai menerusi serbuan yang dijalankan di Miri kelmarin, dengan rampasan Methamphetamine sebanyak 21.7 kilogram yang dianggarkan bernilai RM716,100.

Katanya, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Miri itu turut menahan empat lelaki dan dua wanita tempatan berumur 28 hingga 50 tahun yang disyaki ahli sindiket terbabit.

Turut dirampas wang tunai berjumlah RM52,000, barang kemas dianggarkan bernilai RM54,941 dan empat buah kenderaan bernilai RM194,000.

“Modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung dan mengubah suai tong gas dengan memasukkan sejumlah dadah dan menghantar ke satu lokasi yang ditetapkan sebelum dipasarkan ke negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Sarawak, hari ini.

Khaw berkata, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini, dengan seorang daripada suspek turut didapati positif Methamphetamine dan seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1953.

“JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket,” katanya.

Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 18 hingga 21 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI