LONDON – Nottingham Forest menyelar tindakan pengendali Liga Perdana Inggeris selepas dikenakan hukuman pemotongan empat mata ekoran pelanggaran peraturan kewangan sekali gus meletakkan mereka di zon penyingkiran.
Dalam satu kenyataan yang keras, kelab tersebut menuduh pengendali saingan tersebut telah melanggar amanah dan menguatkuasakan peraturan kewangan yang boleh merencatkan perkembangan sukan utama di England.
Pemotongan empat mata berkenaan dibuat oleh suruhanjaya bebas selepas mendapati kelab itu telah membuat perbelanjaan sebanyak £34.5 juta (RM207.55 juta) melebihi daripada nilai yang dibenarkan untuk tempoh 2020 hingga 2023.
Jumlah empat mata yang dikenakan terhadap Forest itu sudahpun diberikan ‘diskaun’ apabila hukuman asal adalah sebanyak enam mata setelah mengambil kira pengakuan bersalah dan kerjasama diberikan kelab itu sepanjang proses penyiasatan.
Sebelum ini, Everton dihukum pemotongan 10 mata, namun dikurangkan menjadi enam mata dan gagal untuk mengurangkan lagi hukuman tersebut seperti mana Forest kerana mereka tidak mengaku bersalah dan memberikan maklumat tidak tepat ketika penyiasatan.
“Kerjasama pada tahap tertinggi diberikan oleh pihak kelab ini untuk menyempurnakan proses siasatan, namun ia seakan tidak memberikan apa-apa nilai di pihak Liga Perdana Inggeris.
“Selepas berbulan-bulan proses tersebut berlaku, keputusan ini sangat mengejutkan kerana ia seakan satu penganiayaan terhadap keyakinan dan amanah yang kami berikan kepada mereka.
“Kami sangat kecewa dengan maklumat yang diberikan oleh Liga Perdana kepada pihak suruhanjaya mengenai kes ini sehingga menyebabkan kelab terpaksa menanggung akibat,” menurut kenyataan kelab itu. – AGENSI