MUNICH – Bintang England, Harry Kane berhak diangkat sebagai penerima Ballon d’Or sekiranya penyerang itu mampu memecahkan rekod jaringan dalam saingan Bundesliga.
Bekas penjaga gol The Three Lions, David James melontarkan cabaran itu kepada Kane yang muncul pemain pertama merakam empat hatrik pada musim pertamanya di liga Jerman.
Ketika saingan Bundesliga masih berbaki lapan perlawanan, James merasakan Kane berada di landasan terbaik untuk memperbaiki rekod Robert Lewandowski yang memegang rekod penjaring terbanyak dengan 41 gol.
“Hakikatnya dia boleh memecahkan rekod Bundesliga tahun ini dan saya fikir kita sudah ada bukti betapa bagusnya Harry Kane. Dia mampu jadi pemain yang boleh menjaringkan lebih banyak gol buat Bayern Munich di Bundesliga.
“Dia juga boleh buat lebih baik daripada Lewandowski yang sebelum ini ramai merasakan pemain Poland itu mampu memenangi Ballon d’Or,” katanya.
Kane mengesahkan jaringan ke-31 Bundesliga ketika membantu Bayern menang 5-2 ke atas Darmstadt pada Sabtu lalu.
Ia menyaksikan Kane mengatasi rekod legenda Jerman, Uwe Seeler pada musim 1963/64 selaku pemain paling banyak menjaringkan gol pada musim debut di saingan utama liga berkenaan.
Ketika ini, Kane sudah meledak 37 gol dalam 35 perlawanan dalam semua kejohanan. – AGENSI