PETALING JAYA – Seorang guru lelaki sekolah rendah sanggup bersengkang mata selama hampir dua tahun bagi mendapatkan tajaan lebih RM35,000 untuk menukarkan sebuah kelas usang menjadi ‘Smart Classroom’.
Menurut Yuslan Ibrahim, 45, dia tidak menyangka usahanya selama ini dalam menyiapkan segala dokumen dan data akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya terpilih untuk ditaja penuh oleh sebuah syarikat swasta.
Ujarnya yang mengajar subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), pada mulanya dia ingin memperbaharui sebuah kelas usang di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa Port Dickson, Negeri Sembilan itu namun berdepan dengan masalah kekangan kos.
“Kemudian guru besar kata sekolah kami disenarai pendek untuk dapat tajaan projek ‘Smart Classroom’ lengkap. Jadi bermula itulah saya bersengkang mata kumpulkan data, keputusan peperiksaan murid dan segala dokumen yang diminta.
“Sebab syarat utama adalah majoriti murid perlulah terdiri dari golongan B40. Sekolah kami pada waktu itu terdiri daripada 800 murid, dan 650 daripadanya adalah golongan B40.
“Selepas setahun setengah proses penyediaan dan penghantaran dokumen, sekolah kami satu-satunya sekolah di Negeri Sembilan yang terpilih. Selepas saya buat ‘layout’ dan pendawaian diluluskan, maka pengubahsuaian pun bermula,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Bercerita lanjut, Yuslan yang sudah berkhidmat selama 17 tahun di sekolah itu berkata, murid-murid sangat teruja dan semakin bersemangat untuk belajar setelah kelas tersebut siap sepenuhnya.
Katanya, ‘Smart Classroom’ itu memudahkan para murid untuk belajar khususnya untuk subjek Sains, Matematik dan RBT kerana mempunyai kemudahan penghawa dingin, televisyen dan internet.
Dalam pada itu, Yuslan turut menasihati agar para guru tidak berputus asa untuk mencari alternatif lain bagi mendapatkan dana dan bukannya semata-mata bergantung kepada ‘duit poket’ sendiri.
“Ada kes dimana guru baru sanggup habiskan bonus sebanyak RM2,000 untuk dekorasi kelas dan sebagainya. Bagi saya, kalau ada alternatif lain kenapa nak guna simpanan sendiri.
“Cikgu sekarang cuma kena selari dengan situasi semasa dan jadi kreatif cari cara macam mana nak dapat tajaan. Macam saya, saya teruskan hantar permohonan walaupun tak tahu akan dapat ke tak.
“Selepas kelas dah siap, ada pertandingan video, saya hantar pula dan menang dapat RM1,200. Dana itu saya khaskan untuk dekorasi kelas tersebut. Niat saya berkongsi, hanya untuk beri inspirasi dan idea kepada guru-guru di luar sana,” katanya.
Terdahulu, video Yuslan yang dimuat naik di TikTok tular sehingga mendapat lebih 1.1 juta tontonan, 45,900 tanda suka dan 1,847 perkongsian.
Di dalam video itu, Yuslan memaparkan sebuah ‘Smart Classroom’ yang telah siap diubah suai bersama peralatan-peralatan seperti meja, kerusi, penghawa dingin dan televisyen yang ditaja sepenuhnya oleh sebuah syarikat swasta. – KOSMO! ONLINE