fbpx

Kebenaran khas kepada murid pakai pakaian sukan semasa cuaca panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Murid sekolah rendah akan turut diberi kebenaran khas untuk memakai pakaian sukan semasa cuaca panas. - Foto SADDAM YUSSOFF

PUTRAJAYA- Kementerian Pendidikan (KPM) menyeru semua institusi pendidikan untuk memberi pertimbangan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana memakai pakaian sukan sopan semasa cuaca panas.

KPM berkata, pertimbangan kebenaran khas itu dibuat berdasarkan kepada keperluan dan situasi di institusi masing-masing.

Pada masa sama, KPM juga menetapkan agar aktiviti di luar bilik darjah perlu ditangguhkan jika cuaca terlalu panas dalam usaha menjaga kesihatan murid dan guru dalam menghadapi cuaca panas.

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan KPM diminta untuk melaksanakan langkah pencegahan itu.

“Langkah pencegahan itu termasuklah memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

“Selain itu, perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri bagi yang tidak berpuasa atau murid bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

KPM berkata, pihaknya juga menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan mereka.

“Langkah itu turut meliputi usaha membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.

“Kami juga sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” jelasnya.

Susulan itu, katanya, semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

“Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mematuhi saranan pihak berkuasa bagi menjamin kesihatan seluruh warga institusi pendidikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI