GEORGE TOWN – Kes saman fitnah usahawan kosmetik, Rozita Baharom, 37, atau dikenali sebagai Che Ta Pot Pet terhadap Muhammad Iddin Syah Mohd. Fuzi, 29, akhirnya selesai selepas pempengaruh media sosial itu membuat permohonan maaf di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Muhammad Iddin selaku defendan membuat pernyataan maaf secara terbuka di hadapan Hakim P. Anand atas keterlanjuran kata-kata kesat yang dilemparnya terhadap Rozita menerusi media sosial, Julai tahun lalu.
“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada Rozita Baharom dan Syarikat Secret Desire Skincare Sdn. Bhd. di atas keterlanjuran kata-kata kesat.
“Saya juga bersetuju writ saman yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Butterworth ditarik balik,” katanya yang diwakili peguam Rafique Rashid dan Akif Rusli.
Selain itu, Iddin Syah juga bersetuju untuk membuat hantaran permohonan maaf dengan memuat naik video di media sosial miliknya selama 10 hari, bermula hari ini.
Terdahulu, Hakim Anand sebelum merekodkan penghakiman persetujuan memuji tindakan yang diambil kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes tersebut secara damai.
Sementara itu, Rozita yang ditemui di luar mahkamah berkata, penantiannya hampir setahun akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila mahkamah memutuskan agar kedua-dua pihak berdamai dengan baik.
“Kita pun bukan nak panjangkan isu ini. Kalau boleh kita hendak selesaikan secara baik, demi maruah kerana impaknya sangat besar.
“Alhamdulillah…Hari ini dapat kata putus di antara kedua-dua pihak. Kes saman fitnah sudah selesai dan sama-sama melancarkan keputusan mahkamah,” jelasnya.
Pada Ogos tahun lalu, media melaporkan Rozita memfailkan tuntutan saman berjumlah RM16 juta terhadap Iddin Syah yang didakwa telah memfitnahnya sejak lebih sebulan.
Kisah Rozita dan Iddin Syah menjadi tumpuan pengguna media sosial sebelum ini apabila pempengaruh itu mendakwa telah ditipu oleh usahawan terbabit sebanyak RM150,000. – KOSMO! ONLINE