PETALING JAYA – Golongan ibu bapa merayu agar murid Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dibenarkan memakai pakaian sukan ekoran cuaca panas yang mencatatkan suhu sehingga 38 darjah Celsius ketika ini.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, rata-rata mereka menggesa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) supaya mengeluarkan pekeliling yang mengizinkan pemakaian baju sukan ke sekolah.
Menurut seorang ibu yang dikenali sebagai Sakinah, anaknya terpaksa memakai baju sekolah setiap hari ke kelas KAFA walaupun cuaca panas terik susulan arahan daripada JAIS.
“Saya harap cikgu boleh beri kelonggaran pakai baju sukan. Masalahnya, kalau saya minta anak pakai baju sukan, sekolah tunjuk surat dari JAIS yang menegaskan murid perlu pakai uniform sekolah setiap hari.
“Kasihan murid sekolah KAFA. Dekat kawasan saya ini memang panas. Bahang dia lain macam,” katanya di laman Facebook.
Dalam pada itu, Sakinah berkata, ramai ibu bapa telah tampil ke hadapan dan menyuarakan perkara tersebut kepada pihak sekolah.
Bagaimanapun, masih belum ada sebarang kelonggaran yang diberikan sehingga hari ini.
Seorang lagi pengguna Facebook, Awien Sulaiman berkata, anaknya juga terpaksa memakai baju sekolah setiap hari atas arahan sama daripada JAIS.
“Kadang-kadang sampai basah baju Melayu anak dek peluh. Sekarang ini, cuaca memang panas, kalau pasang pendingin hawa dalam kereta pun, masih terasa bahangnya,” katanya.
Selain itu, seorang guru KAFA, Zakiah Zakaria berkata, pihak JAIS perlu memandang serius perkara ini dan mempercepatkan pengeluaran pekeliling yang membenarkan murid memakai baju sukan ke sekolah.
“Saya kasihan tengok anak murid. Ramai yang selalu ulang-alik ke tandas untuk basuh muka.
“Kalau kita rasa panas dan bahang, apatah lagi anak-anak murid yang masih kecil. Malah, kehadiran di sekolah juga merosot, sehari sampai 10 orang tak datang KAFA.
“Itu belum termasuk lagi anak-anak yang tidak sihat,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 23 kes strok haba bagi minggu epidemilogi pertama sehingga ke-11 dengan dua kes baharu direkodkan di Sabah dan Kedah, Jumaat lalu.
Menurut beliau, jumlah itu direkodkan berdasarkan kes yang dilaporkan kepada fasiliti KKM setakat ini. – KOSMO! ONLINE