fbpx

Ramai lega KPM mansuh skor TP, tapi masih berharap UPSR dikembalikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Ramai ibu bapa serta guru menyokong tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan sistem skor markah dalam bentuk tahap penguasaan (TP) iaitu antara 1 hingga 6 seperti mana diumumkan Menterinya, Fadhlina Sidek hari ini.

Menurut Fadhlina, bermula sesi persekolahan ini, pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua mata pelajaran murid di sekolah akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred.

Katanya, langkah itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang keliru dengan pelaporan TP sebelum ini.

Sehubungan itu, tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati kebanyakan ibu bapa serta golongan pendidik bersetuju dengan perubahan tersebut kerana dianggap lebih mudah difahami.

“Alhamdulillah, yang dinantikan. Terima kasih Menteri Fadhlina dan KPM kerana cakna dengan kesukaran sistem skor TP ini. Kami barisan guru juga masih ramai yang kurang faham, terutama melibatkan penerangan kepada ibu bapa,” luah seorang guru, Ayuni Nordin.

“Alhamdulillah, lagi senang nak faham (markah murid) dalam bentuk peratus dan gred,” kata Hanim Adam.

Dalam pada itu, hasil semakan Kosmo! terhadap perkongsian orang ramai di media sosial, rata-ratanya masih berharap agar sistem penilaian peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan semula.

“UPSR pun patut dah dikembalikan semula,” cadang Mastura.

“Harapnya lepas ini KPM boleh pertimbangkan untuk kembalikan UPSR atau ujian yang seumpamanya. Saya boleh nampak bezanya anak sulung dan anak kedua saya yang lebih bersungguh sewaktu mereka hadapi UPSR, PMR (Penilaian Menengah Rendah) berbanding anak bongsu saya yang masih darjah empat.

“Bukan nak kata sistem PBD (Pentaksiran Bilik Darjah) tidak bagus, tetapi lebih berkesan sistem peperiksaan seperti sebelum ini,” kongsi Ayuni Nanaa dalam ciapan terbaharunya di laman X tadi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI