KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Dewan Negara mempersoalkan jemputan pemimpin politik dari Pas dan Bersatu dalam sesi libat urus Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.
Senator Dr. Lingeshwaran berkata, apakah objektif dan rasional dalam keputusan tersebut memandangkan pendirian kedua-dua parti itu tidak mewakili kaum India secara terbuka.
Dalam pada itu, beliau juga meluahkan rasa kesal susulan sesi itu yang sepatutnya diadakan selama dua hari bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan turut dipendekkan kepada empat jam sahaja.
“Adakah jangka masa ini cukup untuk berbincang secara menyeluruh serta mengapa Pas dan Bersatu dijemput dalam sesi libat urus Masyarakat India, adakah mereka parti berbilang bangsa?
“Saya faham (Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang) nak bantu orang India tetapi jangan lupa bahawa kegagalan Mitra akan menyebabkan Ahli Parlimen dan ADUN India disalahkan dan dijadikan topik untuk mengutuk Kerajaan Perpaduan,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Lingeshwaran turut menyoal peranan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra memandangkan unit tersebut di bawah Kementerian Perpaduan.
“Ada kekeliruan dalam kalangan pemimpin India siapa yang akan mengetuai dan menerajui Mitra kerana terdapat seorang Timbalan Menteri berbangsa India di Kementerian Perpaduan.
“Sila nyatakan dengan jelas siapa yang akan membuat keputusan dalam kelulusan permohonan dana Mitra,” ujarnya.
Selain itu, Dr. lingeshwaran turut meminta menteri untuk menjelaskan mengenai pelantikan syarikat konsultasi, PEMANDU dipercayai untuk melaksanakan bengkel bagi menghasilkan blueprint Mitra dengan peruntukan hampir RM500,000.
“Siapakah yang melantik PEMANDU sebagai syarikat untuk mengendalikan sesi libat urus berkenaan serta atas kriteria apa, syarikat itu diberikan projek tersebut? Apakah objektif, metodologi dan hasil yang ditawarkan oleh syarikat konsultasi berkenaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.