KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah terbesar di sini, dengan rampasan sebanyak 46 kilogram (kg) methamphetamine atau syabu bernilai lebih RM1.5 juta.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata, kejayaan itu hasil tangkapan ke atas seorang ahli sindiket terbabit berusia lewat 20-an menerusi serbuan Cawangan Narkotik, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) dengan kerjasama Pasukan Cawangan Narkotik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke atas sebuah rumah di Matang, dekat sini pada 6 Mac lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kesemua dadah itu dibungkus menggunakan peket teh Guan Yin Wang dan disembunyikan dalam empat bungkusan pakaian terpakai yang diletakkan di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan.
“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, dianggarkan seramai lebih 450,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat JKDM Sarawak, di sini hari ini.
Norizan menambah, kesemua dadah itu adalah dibawa masuk dari Semenanjung menggunakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).-KOSMO! ONLINE