LONDON – Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino tampil mempertahankan Raheem Sterling selepas pemain sayap itu menjadi mangsa kritikan para penyokong ketika menewaskan Leicester City 4-2 pada suku akhir Piala FA malam kelmarin.
Sterling, 29, dicemuh penyokong sendiri sepanjang aksi di Stamford Bridge itu sehinggalah dia dikeluarkan dan digantikan oleh Noni Madueke pada minit ke-86.
Ia susulan kegagalannya menyudahkan sepakan penalti di separuh masa pertama apabila percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Leicester dari Poland, Jakub Stolarczyk.
Bekas penggempur Manchester City dan Liverpool itu kemudiannya mensia-siakan hantaran cantik daripada Cole Palmer sebelum dia menyepak tinggi
sepakan percuma di babak kedua.
“Cole (Palmer) memberikan bola kepada Raheem (Sterling) untuk mengambil sepakan penalti. Mereka berdua mempunyai hubungan yang baik ketika berada di City. Saya tiada masalah kerana kedua-dua mereka gagal menyudahkannya.
“Saya tidak boleh menafikan apa yang dilaluinya dalam perlawanan ini amat berbeza, tetapi kita semua perlu berikan sokongan kepadanya. Dia seorang pemain yang hebat dan mempunyai CV menarik,
“Benar dia terlepas penalti dan beberapa peluang, tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan aksinya. Setiap apa yang berlaku di atas padang adalah tanggungjawab saya,” kata Pochettino.
Pochettino turut menjadi mangsa cemuhan penyokong yang tidak berpuas hati dengan tindakan bekas pengendali Paris Saint-Germain itu menggantikan Mykhailo Mudryk dengan membawa masuk Carney Chukwuemeka.
Bagaimanapun, Pochettino membuat keputusan tepat kerana Chukwuemeka dan Madueke berjaya meledak dua lagi gol Chelsea untuk memenangi
perlawanan pada masa kecederaan.
Di separuh akhir nanti, tugas berat menanti The Blues apabila diundi menentang Manchester City, manakala satu lagi aksi di Wembley bulan depan antara Coventry City bertemu Manchester United. – AGENSI