PETALING JAYA – Syarikat semikonduktor, QES Group Berhad (QES) mengukuhkan komitmen terhadap amalan mampan dan inovasi dengan membangunkan loji bernilai RM40 juta di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang (QES 2@BKIP) yang memanfaatkan tenaga suria untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik konvensional.
QES 2@BKIP direka untuk meminimumkan impak alam sekitar dan mencapai pensijilan bangunan hijau dengan penggunaan bahan mesra alam serta pelaksanaan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.
Projek tersebut dijangka mencipta 100 peluang pekerjaan berkualiti tinggi dalam tempoh tiga tahun.
QES 2@BKIP juga bakal menempatkan Applied Engineering Technology (M) Sdn. Bhd. (AETM), sebuah syarikat usaha sama bersama rakan kongsi dari Amerika Syarikat, Applied Engineering Inc.
Langkah tersebut akan menggandakan ruang kilang AETM daripada kemudahan sewaan semasa yang berkeluasan 18,000 kaki persegi (1,672 meter persegi) kepada kira-kira 30,000 kaki persegi (2,787 meter persegi), serta menggandakan keperluan tenaga kerja dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 telah membentangkan secara jelas perjalanan pembaharuan perindustrian Malaysia ke arah mencapai ekonomi lebih kompleks, teknologi, kemampanan dan keterangkuman ekonomi.
“Pertemuan dua atau lebih daripada objektif ini melalui sektor sasaran NIMP akan membantu mempercepatkan pembaharuan perindustrian, dan kami melihat hal ini dalam kilang QES akan datang yang menemukan pembuatan semikonduktor berteknologi tinggi dan kelestarian.
“Ini akan membantu sektor pembuatan Malaysia meningkatkan rantaian nilai global dengan lebih cepat, sambil mencipta pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan menyumbang kepada masa depan sifar bersih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -KOSMO! ONLINE