fbpx

Reformasi ekonomi tangani hutang isi rumah RM1.53 trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hui Ying pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang melaksanakan reformasi dan perubahan struktur terhadap ekonomi domestik bagi menangani jumlah hutang isi rumah negara yang direkodkan berjumlah RM1.53 trilion pada akhir 2023.

Timbalan Menteri Kewangan Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berkata, kerajaan sedar bahawa pendekatan yang lebih mampan perlu diambil bagi menangani tahap keberhutangan hutang isi rumah yang tinggi.

Menurutnya, sebahagian besar hutang isi rumah adalah digunakan bagi tujuan pengumpulan harta merangkumi 60.5 peratus pinjaman perumahan, pembelian harta bukan kediaman (5.3 peratus), dan pembelian sekuriti (4.3 peratus).

Sementara itu, katanya, baki 29.9 pula pula adalah bagi tujuan perbelanjaan seperti pinjaman untuk pembelian kenderaan iaitu 13.2 peratus, pembiayaan peribadi (12.6 peratus) dan kad kredit (3.0 peratus).

“Reformasi berteraskan Kerangka Ekonomi Madani itu supaya daya saing dan prestasi ekonomi negara dapat dipertingkatkan sekali gus membantu mengurangkan peratusan hutang isi rumah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Alor Setar mengenai usaha kerajaan untuk mengurangkan peratusan hutang isi rumah.

Hui Ying berkata, usaha berterusan yang dijalankan sebelum ini antaranya pelaksanaan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab bagi memastikan individu meminjam mengikut kemampuan untuk mengelakkan bebanan hutang berlebihan.

Katanya, kerajaan juga komited dalam meningkatkan tahap celik rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) supaya mempunyai keupayaan dan keyakinan untuk membuat keputusan yang baik.

“Isi rumah yang ingin membuat pembelian rumah digalakkan untuk mengikuti program pendidikan kewangan secara talian yang disediakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Bagi isi rumah yang mempunyai masalah pengurusan kewangan dan hutang digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan perkhidmatan penyusunan semula hutang daripada pihak bank,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI