PETALING JAYA – Memasuki hari ke-164, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu telah mencecah 31,645 orang, manakala 73,676 yang lain mengalami kecederaan.
Menerusi perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di Facebook, Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan statistik mengenai jumlah penduduk yang syahid dan cedera akibat serangan berterusan tentera penceroboh itu terus meningkat setiap hari.
Katanya, tentera Israel melancarkan sembilan operasi pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga-keluarga di semenanjung Gaza hingga mengakibatkan 92 syahid manakala 130 lagi cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu.
“Sebilangan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan jalan raya.
“Namun begitu, rejim Zionis menghalang ambulans dan anggota pertahanan awam daripada sampai kepada mangsa,” kongsinya dalam hantaran hari ini.
Terdahulu, portal antarabangsa melaporkan Canselor Jerman, Olaf Scholz menyeru sekali lagi gencatan senjata sementara diadakan di Gaza.
Beliau turut bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengenai keperluan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan menyeluruh kepada penduduk di Gaza.
Pada masa sama, Olaf juga menegaskan dunia tidak boleh hanya berdiam diri melihat rakyat Palestin menghadapi risiko kebuluran ketika ini apabila hampir 100 peratus kehidupan mereka bergantung kepada bantuan kemanusiaan dari negara luar.
Keadaan tersebut semakin meruncing apabila rejim Zionis sejak kebelakangan ini menyasarkan kawasan-kawasan tumpuan rakyat Palestin mengambil bantuan kemanusiaan yang tiba kepada mereka. – KOSMO! ONLINE