fbpx

Pilihan raya Russia dicemari serangan maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita membuang undi di sebuah pusat mengundi bergerak di wilayah Donetsk, 15 Mac lalu. - AFP

MOSCOW – Pilihan raya Presiden Russia yang memasuki hari terakhir hari ini, dicemari pelbagai insiden keganasan yang dicetuskan oleh serangan tentera Ukraine serta beberapa protes bagi mensabotaj keputusan.

Pengundian selama tiga hari bermula kelmarin menyaksikan protes dilakukan pada hari awal pengundian. Beberapa tangkapan kemudian dibuat ke atas penduduk yang dituduh menuang pewarna ke dalam peti undi serta serangan pembakaran.

Semalam, dua orang terbunuh akibat pengeboman tentera Ukraine di wilayah Belgorod, selain sebuah kemudahan minyak terbakar.

Peningkatan serangan telah menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup sekolah-sekolah dan pusat-pusat beli-belah di wilayah Belgorod yang bersempadan dengan Ukraine.

Ia sekali gus ‘mencalar’ hari kedua pilihan raya yang diadakan di negara itu dengan Presiden Vladimir Putin dijangka mengekalkan jawatannya sekali lagi.

Putin, 71, yang mengundi secara online, berikrar akan melakukan tindak balas keras terhadap serangan-serangan itu. Beliau turut menuduh Ukraine cuba mengganggu percubaannya untuk menang dalam pilihan raya tersebut bagi membolehkannya memegang jawatan itu selama enam tahun lagi.

Gabenor Belgorod, Vyacheslav Gladkov berkata, dua penduduk terbunuh, manakala yang lain cedera dalam kejadian pengeboman di wilayah itu.

Kementerian Pertahanan Russia berkata kelmarin bahawa ia berjaya menembak jatuh roket, peluru berpandu dan dron di ruang udara Belgorod serta Kursk, yang merupakan satu lagi wilayah sempadan yang menyaksikan peningkatan serangan Ukraine.

Sementara itu, Moscow hari ini berkata, ia menjadi sasaran gelombang serangan dron Ukraine semalaman di samping aktiviti vandalisme dilakukan di beberapa pusat mengundi.

Drone kamikaze turut membakar pusat mengundi di wilayah Zaporizhzhia Ukraine yang dikawal Rusaia hari ini. Namun, tiada kecederaan dilaporkan, demikian menurut pihak berkuasa.

Serangan di sempadan turut menjadi kebimbangan para pengundi yang tinggal beratus-ratus kilometer di bandar Sergiev Posad, di luar Moscow.

Ketika mengundi dari rumah sambil dibantu pegawai pilihan raya, Inessa Rozhkova, 87, berkata, dia berharap pilihan raya kali ini akan menamatkan konflik antara Russia dengan Ukraine.

“Bolehkah anda bayangkan berapa ramai orang yang telah mati? Kini, kampung kami telah terjejas. Kami berasa bimbang,” katanya.

Dalam pada itu, pengundian juga berlangsung di wilayah Ukraine yang dijajah tentera Russia tetapi ia dikecam sebagai ‘tidak sah’ oleh Kiev dan Barat.

Putin mula berkuasa di Russia sejak hari terakhir tahun 1999 dan beliau dijangka mengekalkan kedudukannya di negara itu sehingga 2030.

Beliau dicabar oleh tiga calon lain iaitu Vladislav Davankov daripada Parti Rakyat Baharu, Leonid Slutsky daripada Parti Liberal-Demokrat Russia dan Nikolai Kharitonov daripada Parti Komunis.

Menurut agensi berita Anadolu ketika memetik Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat negara itu, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya presiden Russia 2024 melebihi 55 peratus pada hari kedua mengundi.

Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Russia, Ella Pamfilova ketika taklimat akhbar di Moscow berkata, lebih 94,000 pusat mengundi dibuka di seluruh negara dengan kakitangannya bekerja dari pukul 8 pagi hingga 8 malam (waktu tempatan).

Keputusan awal pilihan raya tersebut dijangka mula dikeluarkan lewat hari ini (waktu tempatan) dengan keputusan rasmi akan diumumkan pada bulan Mei ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI