KUALA LUMPUR – Orang ramai kini mula berpusu-pusu memenuhi kaunter bayaran tiket bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini susulan kerajaan membenarkan pergerakan untuk merentas negeri dan daerah yang bermula kelmarin.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, rata-rata netizen mula mengorak langkah awal untuk bertemu dengan insan tersayang di kampung halaman khususnya bagi golongan yang ‘terpisah’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Lembah Klang.
Menurut pelajar sebuah universiti awam, Siti Nuraisyah Mohd. Zamry Ehsan, 19, dia kini berasa amat gembira kerana sudah dibenarkan merentas negeri bagi bertemu keluarga di kampung secara bersemuka.
“Sepanjang tempoh PKPB saya menghabiskan masa selama sejam hingga dua jam sehari untuk membuat panggilan video bagi mengubati rindu terhadap keluarga.
“Namun, bermula kelmarin, kerajaan membenarkan orang ramai untuk rentas negeri, memberi saya peluang untuk pulang ke desa dan berjumpa serta memeluk nenek di kampung,” katanya ketika ditemui Kosmo! di TBS, semalam.
Menurut Raziffah Abd. Latiff, 46, pula, dia berharap agar orang ramai sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
“Saya faham dengan keghairahan orang ramai yang ingin bertemu keluarga di kampung, namun SOP yang ditetapkan janganlah diabai.
“Bagi saya pula akan pulang ke Kangar untuk berjumpa dengan sanak-saudara bagi menyelesaikan hal keluarga sepanjang tempoh 2 minggu di sana,” katanya.
Ujarnya, peperangan melawan Covid-19 masih belum berakhir, jadi orang ramai perlu peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk kesejahteraan semua.
Dalam pada itu, pemandu bas ekspres, Zaharee Afendy Zakaria, 35, berkata, kebenaran yang diberikan kerajaan itu bakal memberi kelegaan kepada pengusaha bas ekspres untuk memulakan kembali operasi.
“Semasa kerajaan melarang orang ramai untuk merentas negeri, ada antara kami diberhentikan kerja kerana syarikat tidak beroperasi.
“Saya berharap situasi pandemik yang melanda negara kini bakal kembali reda,” jelasnya.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu lalu mengumumkan pergerakan rentas daerah dan negeri dibenarkan tanpa kebenaran polis bermula Isnin lalu.