fbpx

Bunuh bayi: Jiran sifatkan ibu mangsa peramah, baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAWASAN perumahan di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang inilah lokasi kejadian seorang bayi lelaki mati disyaki dikelar ibu kandungnya, semalam.

JOHOR BAHRU – Jiran kepada keluarga bayi mati dikelar di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang semalam menyifatkan ibu mangsa seorang yang baik dan peramah.

Lelaki berusia 30-an itu berkata, keluarga mangsa sempat memberi donat sebagai juadah berbuka puasa sehari sebelum kejadian.

“Mereka sekeluarga sempat beri donat kepada kami sekeluarga dan jiran-jiran yang lain.

“Jiran saya itu ‘okay’ sahaja, bila jumpa dia akan tegur. Isteri dia juga selalu dilihat membawa anaknya keluar berjalan-jalan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Tambahnya, selepas berpindah di situ sejak dua tahun lalu, tiada yang aneh hendak digambarkan terhadap pasangan terbabit kerana mereka disifatkan cukup baik dan aktif dalam kegiatan kejiranan bersama penduduk di situ.

Malah ujarnya, sebelum kejadian dia tidak pernah melihat atau mendengar suara kanak-kanak menangis atau jirannya bertengkar di rumah itu.

Sementara itu, seorang lagi jiran berkata, dia mengetahui kejadian itu pada kira-kira pukul 1 tengah hari, selepas salah seorang jiran yang lain meminta pertolongan.

“Saya terperanjat bila tiba di rumah itu dan beritahu suami mengenai kejadian yang berlaku.

“Sewaktu tiba di rumah itu, saya nampak sekujur tubuh kanak-kanak ditutup dengan kain dan berdarah. Ibunya pula duduk bersila dan terdiam.

“Saya sudah lama mengenali jiran saya itu. Dia baik dan ramah serta sering membawa keluar anaknya itu berjalan-jalan di sekitar kawasan lorong rumah kami,” katanya ketika ditemui, di sini.

Wanita itu turut trauma selepas melihat tubuh kanak-kanak itu dan masih belum dapat melelapkan mata.

“Saya juga mempunyai dua orang anak, yang bongsu berusia empat tahun kerap bermain dengan anak mangsa yang dikelar itu.

“Anak perempuan sulung berusia sembilan tahun juga masih terkejut selepas mengetahui kejadian kelar itu,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI