NYON – Prestasi yang dipamerkan sepanjang musim ini dengan rekod aksi tanpa kalah meletakkan Bayer Leverkusen sebagai pasukan pilihan untuk memenangi aksi suku akhir bertemu West Ham United pada saingan Liga Europa.
Bagaimanapun, pengendali pendahulu Bundesliga itu, Xabi Alonso lebih selesa untuk kekal realistik kerana menganggap West Ham bakal menghadirkan satu lagi cabaran berbeza buat anak-anak buahnya.
Alonso juga mengakui cukup teruja untuk menyaksikan undian kali ini dan percaya bahawa West Ham merupakan pasukan yang liat untuk ditewaskan kerana memiliki ramai pemain yang memiliki kemahiran individu dan berbahaya.
“Setiap pasukan adalah lawan yang sukar dan kami juga tahu West Ham sudah pun mencapai kejayaan di Liga Konferens Europa musim lepas.
“Mereka memiliki pemain yang berkualiti, namun kami sebenarnya teruja untuk beraksi di suku akhir menentang lawan yang bagus,” katanya.
Ketika ini, keputusan baik yang menyaksikan Leverkusen kekal tanpa kalah dalam semua pertandingan musim ini meletakkannya sebagai pilihan kedua untuk julang kejuaraan musim ini di belakang Liverpool.
Secara atas kertas, kelebihan mungkin berpihak kepada Bayer Leverkusen kerana pernah mengatasi The Hammers 4-0 pada aksi persahabatan pada Ogos tahun lalu. – AGENSI