MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag dilapor bakal mendapat suntikan motivasi menjelang aksi suku akhir Piala FA menentang Liverpool di Old Trafford malam ini apabila kembali mendapatkan khidmat beberapa pemain utama.
Kelibat Rasmus Hojlund, Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka dijangka mampu diturunkan untuk berdepan aksi tersebut apabila kesemua mereka sudah pulih daripada masalah kecederaan dan menghidupkan satu-satunya peluang untuk mereka meraih trofi musim ini.
“Kami melalui minggu yang sangat baik. Beberapa pemain yang terpaksa berehat sebelum ini juga telah kembali dan menjalani latihan.
“Saya fikir mereka mampu untuk diturunkan untuk aksi kali ini. Namun, ia bergantung kepada sesi latihan terakhir nanti, tetapi saya melihat semuanya dalam keadaan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Ten Hag juga memberikan perkembangan terbaharu yang positif mengenai pemain tengahnya, Mason Mount yang sebelum ini telah tersisih selama empat bulan ekoran kecederaan betis apabila kembali menjalani sesi latihan penuh bersama pasukan.
Pengendali dari Belanda itu mahu para pemainnya mengembalikan semula keyakinan dengan menampilkan aksi terbaik seperti mana dilakukan sejak awal tahun ini walaupun sedar bukan tugas mudah berdepan Liverpool.
“Para pemain telah menunjukkan aksi yang baik sejak Januari dan kami melalui perlawanan yang positif serta meraih banyak kemenangan, jadi kami perlu percaya bahawa ia mampu diulangi.
“Kami perlu mengembalikan semula momentum. Sepanjang menyertai sesi latihan, saya dapat rasakan bahawa kami mempunyai keyakinan, semangat dan kekuatan yang baik untuk pasukan ini melangkah lebih jauh,” jelasnya. – AFP