PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap enam peniaga bazar Ramadan kerana menggaji warga asing tanpa kelulusan di ibu negara semalam.
DBKL dalam kenyataannya berkata, pihaknya membuat pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan di tiga lokasi tapak bazar Ramadan bagi memeriksa lesen perniagaan, tahap kebersihan, pengendali makanan serta aliran lalu lintas.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, DBKL mengeluarkan enam notis kompaun kepada pemilik kerana melanggar syarat dengan melantik pembantu warga asing tanpa kelulusan.
“Pembantu warga asing terdiri daripada tiga warga Indonesia, dua warga Pakistan dan seorang warga Myanmar,” katanya hari ini.
Justeru, DBKL mengingatkan semua pemegang lesen perniagaan supaya mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke masa di 11 kawasan parlimen di Kuala Lumpur,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE