OSLO, NORWAY – Sekumpulan nelayan terkejut apabila menemui bangkai seekor ikan paus dalam keadaan terapung, manakala badannya kembung akibat gas yang terperangkap dan berisiko untuk meletup, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Nelayan tempatan, Dag Rydland berkata, dia meletakkan botnya pada jarak yang selamat dan menjarakkan dirinya kerana bimbang bangkai mamalia itu meletup.
“Saya berharap ia tidak terdampar di pantai sebelum itu (meletup),” katanya kepada akhbar Dagbladet, sambil menambah: “Jika bangkai paus itu meletup, banyak cebisan berbau busuk akan bertaburan di pantai.”
Menurut Rydland yang menjadi nelayan selama 27 tahun, dia menyaksikan banyak paus mati sepanjang hidupnya, namun bangkai itu adalah terbesar pernah ditemuinya.
“Ia terkandas kira-kira 3 meter dari pantai. Belon (paus) itu begitu besar!,” katanya.
Bangkai ikan paus sering meletup akibat pembentukan gas yang terperangkap di dalam badannya. – AGENSI