GERIK – Komuniti pemancing bersama-sama penduduk tempatan menggesa tindakan segera diambil terhadap sekumpulan individu yang didakwa menggunakan bom ikan dalam kawasan Hutan Simpan Temengor, Hulu Perak, baru-baru ini.
Wakil mereka, Rospaizal Ismail mendakwa, tindakan beberapa individu tersebut menjejaskan ekosistem sungai terutamanya membabitkan spesis ikan.
“Kami sangat kecewa. Kalau memancing kami tidak marah, tetapi perbuatan seperti ini boleh dikatakan khianat, cara mereka tidak betul,” dakwanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Gerik di sini, hari ini.
Laporan polis itu dibuat susulan tularnya satu video yang menunjukkan sekumpulan lelaki dilihat menunjukkan hasil tangkapan mereka.
Menerusi jumlah tangkapan dan keadaan ikan tersebut, komuniti pemancing mendakwa kaedah pengeboman ikan telah dilakukan.
Rospaizal berkata, disebabkan video yang tular itu, komuniti pemancing membuat laporan polis serta menggesa tindakan tegas diambil ke atas pelaku.
Seorang penduduk , Amran Andak mendakwa, tindakan menggunakan bom ikan itu menyebabkan kerana ikan berkurangan dan perlu tempoh lama untuk pulih. – KOSMO! ONLINE