IPOH – “Apabila mabuk, mereka buat bising dan bergaduh. Keadaan ini membuatkan kami bimbang.”
Demikian luahan penduduk tempatan berhubung kebanjiran warga asing di kawasan mereka di Rumah Pangsa Bercham, di sini hari ini.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Kamal Izham, 30, mendakwa, terlalu ramai warga asing di kawasan perumahan tersebut menyebabkan mereka berasa tidak selesa.
“Setakat ini, mereka tidak mengganggu orang tapi apabila mabuk, mereka akan membuat bising dan bergaduh sesama sendiri sehingga ada yang cedera.
“Bilangan warga asing di sini semakin hari semakin bertambah. Apabila terlalu ramai, sudah jadi seperti perkampungan mereka pula.
“Buat masa sekarang, memanglah tidak kacau, tapi akan datang kita tidak tahu. Kami bimbang akan keselamatan keluarga tertama kaum wanita dan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui semasa Op Pintu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, di sini.
Bagi penduduk, K. Satthiya, 42, kebanjiran warga asing di perumahan berkenaan ketara sejak lima tahun lalu apabila kebanyakan unit kediaman dijadikan hostel pekerja.
Katanya, faktor sewa rumah rendah iaitu RM250 hingga RM450 sebulan dan lokasi strategik serta dilengkapi kemudahan asas menjadikan perumahan itu sebagai tumpuan golongan berkenaan.
“Kebanyakan yang tinggal di sini warga Indonesia dan Bangladesh. Mereka bekerja sebagai buruh binaan, tukang cuci dan pekerja pasar raya.
“Masa mula-mula dulu tidak ramai kebanyakannya seorang diri, tapi bila bertahun tinggal di sini, mereka mula membina keluarga dan jumlahnya semakin ramai,” ujarnya.
Dalam operasi bermula pukul 12.30 tengah malam yang disertai anggota penguatkuasa JIM Perak dengan dibantu Batalian 1, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, sebanyak 15 blok kediaman diperiksa membabitkan 560 unit rumah.
Sementara itu Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, seramai 358 warga asing diperiksa yang mana 158 daripada mereka ditahan untuk tindakan lanjut.
Daripada jumlah itu, seramai 93 orang adalah lelaki, 54 wanita dan 11 kanak-kanak berusia sembilan hingga 60 tahun. Pendatang asing tanpa izin yang ditahan terdiri daripada Bangladesh, Indonesia, China, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka, Myanmar dan Vietnam.
. – KOSMO! ONLINE