KUALA PERLIS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun melecur pada beberapa bahagian badan selepas dua buah rumah di Kampung Seberang Alor, di sini terbakar pada petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang cedera pada belakang badan, tangan dan kaki dengan tahap melecur kira-kira 30 peratus dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis, Penguasa Bomba Norazwan Hashim memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran rumah pada pukul 5.15 petang tadi.
“Anggota berjaya mengawal kebakaran pada pukul 5.54 petang. Dua rumah terlibat masing-masing musnah 90 dan 60 peratus,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, ketika kejadian terdapat tiga kanak-kanak termasuk mangsa yang melecur di sebuah rumah manakala sebuah rumah lagi tiada penghuni.
“Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur salah sebuah rumah dan merebak ke rumah berhampiran,” ujarnya.
Tambahnya, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE