TAPAH – Situasi cemas dialami seorang lelaki berusia 56 tahun apabila tangan kirinya tersepit pada mesin pengisar rumput yang digunakan untuk makanan lembu ternakan di Kampung Samy di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.19 petang.
“Kami bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati tangan kiri mangsa tersepit pada mesin shreader yang dikhaskan untuk menghancurkan rumput bagi menjadi makanan lembu ternakannya.
“Bomba menggunakan peralatan khas memotong sebahagian besi mesin itu untuk mengeluarkan tangan mangsa,” katanya di sini, hari ini.
Katanya lagi, mangsa mengalami kecederaan parah pada kelima-lima jari tangan kirinya dan dibawa ke hospital berdekatan menggunakan ambulans. – KOSMO! ONLINE