PARIS – Sebiji bola sepak edisi khas yang dihasilkan oleh jenama fesyen tersohor dunia Louis Vuitton (LV) dijual pada harga £4,029 (RM21,881) dalam platform beli-belah online mewah, Farfetch.
Bola diperbuat daripada kulit itu adalah sempena kenangan Perancis menjadi tuan rumah Piala Dunia 1998.
Iklan jualan bola di platform itu meraih pelbagai reaksi netizen yang mula membuat gurauan tentang harganya yang dianggap terlampau tinggi.
“Kenapa bazirkan duit pada bola jenama Adidas berharga £20 (RM108) sedangkan anda boleh memiliki bola sepak LV berharga RM21,000?”, sindir seorang pengguna Facebook.
Ada juga yang berkata, bola itu kelihatan seperti sudah mempunyai kesan lumpur dan tidak patut dijual pada harga semahal itu.
Farfetch menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus kepada pembeli yang berminat dengan bola sepak itu. – Agensi