MILAN – Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku terus menjadi sandaran pasukan itu menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk di Stadium Giuseppe Meazza awal pagi esok.
Pemain antarabangsa Belgium itu meledak dua gol ketika membantu skuad kendalian Conte menang 3-2 ke atas Borussia Monchengladbach minggu lepas.
Skuad Nerazzurri itu berdepan kemungkinan tersingkir daripada saingan sekiranya gagal memenangi perlawanan awal pagi esok memandangkan mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan B.
“Saya akui tidak pernah bermain sebaik ini dalam karier. Saya sangat gembira kerana sudah menjaringkan empat gol dalam pentas Eropah musim ini.
“Perlawanan menentang Shakhtar sangat penting untuk kami kerana ia bakal menentukan hala tuju Inter dalam saingan Liga Juara-Juara. Saya harap boleh terus menjaringkan gol untuk pasukan,” kata Lukaku.
Sementara itu, Conte mengakui beliau sangat menyanjung bekas penyerang Manchester United itu, selain melabelkannya sebagai permata selepas menyertai pasukan tersebut.
“Saya percaya dengan kemampuan Lukaku dan dia boleh menjadi pemain lebih baik. Sebaik dia tiba di sini, saya sudah jangka dia mampu menjadi watak penting untuk pasukan,” ujar bekas pengendali Chelsea itu. – AGENSI