BOLOGNA – Keputusan Ducati melaksanakan langkah-langkah penjimatan terutama terhadap gaji pelumba mereka menimbulkan keraguan mengenai masa depan Jorge Martin bersama pasukan berpangkalan dari Itali tersebut.
Ducati ketika ini telah melanjutkan kontrak pelumba utamanya, Francesco Bagnaia sehingga 2026 dengan nilai kira-kira €7 juta (RM35.72 juta) semusim dan angka itu boleh meningkat kepada €10 juta (RM51.02 juta) sekiranya dia memenangi gelaran dunia ketiga musim ini.
Bagaimanapun, Ducati dikatakan menawarkan tawaran tersebut kepada Bagnaia seorang sahaja, bukan kepada pelumba-pelumba mereka yang lain.
Ini bermakna Martin yang bersaing bersama Pramac Ducati perlu mencari pasukan baharu kerana Ducati didakwa bersedia untuk mengurangkan perbelanjaan mereka sebanyak 50 peratus pada musim 2025.
“Gaji perlu selaras. Ducati tidak boleh membayar gaji €2 juta (RM10.2 juta) kepada pelumba pasukan satelit mereka.
“Ducati enggan meletakkan gaji terlalu tinggi terutama kepada pelumba satelit dan akhirnya menyukarkan mereka untuk dibeli,” kata sumber dalaman Ducati.
Pelumba berbakat Moto2, Fermin Aldeguer dijangka beraksi bersama Pramac Ducati tahun depan walaupun dikatakan hanya dibayar sekitar €300,000 (RM1.53 juta)
Gaji Aldeguer yang agak rendah adalah bukti bagaimana Ducati berhasrat untuk mengawal perbelanjaan menghadapi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025 dan musim-musim seterusnya. – AGENSI