MANCHESTER – Bintang Manchester City, Kevin De Bruyne terlepas aksi suku akhir Piala FA menentang Newcastle United di Stadium Etihad awal pagi esok kerana masalah kecederaan pangkal paha.
Berita tersebut disahkan selepas nama perancang The Citizens itu tiada dalam senarai skuad Belgium menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Ireland dan England minggu depan.
Difahamkan, pengurus City, Pep Guardiola tidak panik dengan situasi itu memandangkan beliau mempunyai ramai lagi pemain yang boleh beraksi di posisi De Bruyne untuk aksi tersebut.
Malah, Guardiola sendiri pernah mengeluarkan De Bruyne pada minit ke-69 ketika seri 1-1 dengan Liverpool hujung minggu lalu sehingga menimbulkan kemarahan bekas pemain Wolfsburg dan Chelsea itu.
Ini bermakna City bakal turun menentang The Magpies tanpa dua tonggak utama selepas penjaga gol No.1, Ederson juga terpaksa disisihkan kerana kecederaan paha dan tempatnya bakal digantikan pilihan kedua, Stefan Ortega.
Sementara itu, pemain tengah bertahan City, Rodri berkata, aksi Piala FA disusuli tempoh rehat seminggu bagi memberi laluan kepada saingan antarabangsa hadir pada waktu tepat sebelum turun bertemu Arsenal hujung bulan ini.
“Ia memberikan kami sedikit masa untuk memperbaiki apa-apa kekurangan dalam usaha kami menekan habis-habisan sehingga penghujung musim nanti. Kami perlu ‘cas bateri’ untuk menang baki semua perlawanan selepas ini,” katanya.
Aksi bertemu Arsenal yang kini menerajui carta Liga Perdana Inggeris (EPL) amat penting buat City untuk menentukan sama ada mereka masih berpeluang memburu kejuaraan EPL musim ini. – AGENSI