fbpx

Pemilik stesen minyak mengaku salah jual RON95 kepada kenderaan asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular yang menunjukkan sebuah kenderaan asing dari Thailand yang mengisi minyak RON95 pada Januari lalu.

SELAYANG – Seorang pemilik sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjual petrol RON95 kepada kenderaan asing dari Thailand yang tular di media sosial awal Januari lalu.

Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 26 April ini bagi fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Naziruddin selaku pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel gagal untuk mematuhi Arahan Pengawal Bekalan iaitu menjual barang kawalan berjadual petrol RON 95 sebanyak 48.78 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing dari Thailand perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat, Lebuh Raya Utara- Selatan arah utara pada pukul 9.16 pagi pada 1 Januari lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukan denda tidak lebih RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika kesalahan.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Hannah Abd. Wahab bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Nor Wahidah Muhammad.

Mohammad Naziruddin diwakili peguam Muhammad Syahmi Akif Jamili.

Pada 5 Januari lalu, Kosmo! melaporkan KPDN menjalankan siasatan berhubung kes tular sebuah stesen minyak di Rawang yang menjual petrol bersubsidi kepada warga asing, baru-baru ini.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, ini melibatkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang mengisi RON 95.

Tambah beliau, ia merupakan kes pertama yang direkodkan di Selangor pada tahun ini dengan pihaknya memandang serius serta memberi amaran kepada semua pengusaha stesen minyak supaya tidak menjual petrol bersubsidi kepada warga asing.

Terdahulu, tular video berdurasi 13 saat di aplikasi X memaparkan pembelian RON95 oleh sebuah kenderaan dengan nombor plat kenderaan Thailand. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI