fbpx

Bekas tentera didakwa 17 pertuduhan, cabul dan cederakan prebet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Seorang bekas tentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 17 pertuduhan mencabul dan mencederakan seorang prebet, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Amanah Habhijullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman sejurus semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 15, tertuduh didakwa telah melakukan kekerasan jenayah kepada seorang lelaki berusia 20 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan di Bilik Bujang Tingkat Dua, Villa Kesatria, 73, Batalion Ordnans Diraja, Kem Terendak, Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah sekitar tengah malam hingga pukul 6 pagi antara 25 Ogos 2023 hingga 14 Oktober 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di lokasi sama pada pukul 2 pagi 15 Oktober dan 3 petang 16 Oktober 2023.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan keseluruhan sebanyak RM134,000.

Peguam S. Daniel yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya kini hanya menggunakan wang simpanan untuk menyara kehidupan dan dalam proses diberhentikan kerja.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin tempatan bermastautin di Melaka.

Selain itu tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang menghubungi atau menganggu mangsa menggunakan sebarang medium sehingga kes selesai.

Sharda kemudian menetapkan tarikh 30 April depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI