fbpx

Malaysia nyata komitmen tangani Islamofobia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad.

PUTRAJAYA – Malaysia menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menangani Islamofobia termasuk isu keganasan dan kebencian terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan masing-masing.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia terus menjunjung Perkara 1 di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa ‘Semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak-hak’.

Beliau berkata, Malaysia bimbang dengan pengiktirafan terhadap tindakan-tindakan provokasi, tidak menghormati dan tindakan yang menyinggung perasaan termasuk insiden pembakaran kitab suci al-Quran secara berterusan.

“Perkara ini akan terus menyemai sifat kebencian dan keganasan terhadap umat Islam dan golongan agama minoriti yang lain.

“Tindakan tersebut adalah manifestasi Islamofobia yang amat berbahaya dan telah menular menjadi wabak sekali gus menyumbang kepada peningkatan keganasan di samping menormalisasikan kebencian terhadap umat Islam di seluruh dunia jika tidak dibendung,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan ulang tahun ketiga Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia hari ini.

Mohamad berkata, manifestasi Islamofobia juga akan menghakis usaha memupuk keamanan dan keharmonian di peringkat antarabangsa.

Dalam hal ini jelas Mohamad, Malaysia mengalu-alukan pelbagai inisiatif PBB, Majlis Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menyeru supaya masyarakat antarabangsa mengukuhkan usaha untuk menggalakkan budaya toleransi dan keamanan.

“Ia berdasarkan penghormatan kepada hak asasi manusia, kepelbagaian dan kepercayaan agama.

“Malaysia percaya bahawa tindakan yang lebih nyata adalah amat perlu bagi menangani punca Islamofobia.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengenal pasti langkah-langkah kukuh dalam membanteras keadaan dan perlakuan semasa yang memupuk perbuatan-perbuatan keji ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Malaysia menyokong penuh seruan bagi pelantikan Perutusan Khas PBB untuk memerangi Islamofobia.

Katanya, dialog antara budaya dan agama memainkan peranan penting bagi memupuk keamanan, kesederhanaan serta toleransi beragama.

“Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia percaya bahawa nilai kesederhanaan dapat merapatkan perbezaan dan menyelesaikan pertikaian berdasarkan amalan saling menghormati dan memahami, toleransi, dialog, bertolak ansur, keharmonian, keterangkuman dan keadilan.

“Malaysia kekal teguh dengan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memerangi Islamofobia dengan berkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI