fbpx

Tiga rakan didenda RM2,000 cederakan lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima rakan tertuduh iaitu, S. Guna Segaran, 21; K. Logen, 22; A. Ignisrao, 26; M. Nagaraj, 23, dan R. Naresh, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majisret Sungai Siput, hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

SUNGAI SIPUT – Tiga lelaki masing-masing dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki, Isnin lalu.

Tertuduh, K. Lengeswaran, 23; S. Thinakaren, 23, dan M. Akkaskumar, 24, juga berdepan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tiga rakan itu membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Bagaimanapun, lima rakan tertuduh iaitu, S. Guna Segaran, 21; K. Logen, 22; A. Ignisrao, 26; M. Nagaraj, 23, dan R. Naresh, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan kepada mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, kelapan-lapan lelaki itu didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang yang mana perhimpunan itu bertujuan memukul dan mendatangkan kecederaan pada tubuh badan V. Arvind Ranair, 28.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi tokong kecil bersebelahan jalan utama Taman Tun Sambanthan, dalam daerah Sungai Siput Utara antara pukul 9.30 hingga 11.15 malam, 11 Mac 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R. S. Vitthiyeswary memohon hukuman denda maksimum dikenakan terhadap Lengeswaran, Thinakaren dan Akkaskumar dengan mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa hingga terpaksa menerima jahitan di kepala, jari dan bahagian belakang badan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda minimum atas alasan tidak berkemampuan. Ketiga-tiga tertuduh membayar denda berkenaan.

Sementara itu, bagi lima tertuduh yang tidak mengaku bersalah, Vitthiyeswary mencadangkan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan memohon tarikh sebutan baharu untuk lantikan peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI