fbpx

1,137 liter diesel sekali isi masuk tangki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALURAN paip yang menghubungkan minyak diesel ke tangki fiber yang disembunyikan di atas lori. - Foto IHSAN KPDN PERAK

TAPAH – Sebuah stesen minyak disyaki terlibat sindiket menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Jalan Temoh di sini diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam dengan nilai sitaan dalam operasi itu mencecah RM22,085.55.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan tersebut dilakukan kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Tapah.

Beliau berkata, operasi itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Cawangan Tapah selama seminggu di sekitar Jalan Temoh.

“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati operasi sindiket ini adalah dengan cara membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori yang telah diubah suai dengan sambungan paip terus ke tangki fiber disembunyikan di atas lori.

“Pengisian dianggarkan adalah sebanyak antara 1,000 hingga 1,500 liter sekali pengisian di stesen minyak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamalludin berkata, siasatan juga mendapati, pemandu kenderaan itu kemudiannya akan menjual minyak diesel berkenaan kepada pasaran gelap yang disyaki melibatkan beberapa syarikat di sekitar Tapah pada harga lebih tinggi.

“Hasil pemeriksaan juga telah menemui anggaran sebanyak 1,137 liter cecair disyaki minyak diesel di dalam satu tangki fiber berkapasiti 3,000 liter yang berada di dalam lori,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI