fbpx

Boleh beritahu ada telur lalat tapi kenapa tularkan – Peniaga sup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang tular menunjukkan telur lalat di bahagian tulang sup daging.

MELAKA – Peniaga yang didakwa memaksa seorang pengunjung bazar di Semabok dekat sini membeli dua mangkuk sup daging dipercayai mempunyai telur lalat telah memulangkan wang pelanggan berkenaan.

Menurut Samsudin Jaafar, 69, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku sepanjang dia menjalankan perniagaan berkenaan selama 25 tahun.

Ujarnya, dia mengakui pihaknya mungkin tidak menyedari kehadiran telur lalat itu dan perkara tersebut boleh dimaklumkan terus kepadanya tanpa perlu menularkan di laman sosial.

“Saya akui, mungkin kesilapan saya tak perasan ada telur lalat dalam sup daging, tapi bukanlah sebab sup itu sudah berbau kerana tiada aduan daripada pelanggan lain.

“Anak saya pun dah pulangkan RM10 duit pelanggan berkenaan semalam, cuma saya kesal perkara itu tidak dimaklumkan kepada saya dan perlu ditularkan sehingga ramai kenalan dan pelanggan tetap saya terkejut,” ujarnya.

PAPARAN harga RM10 bagi sup daging yang dijual.

Jelasnya lagi, dia tidak pernah memaksa pelanggan tersebut membeli dua mangkuk sup dan enggan memulangkan baki, sebaliknya satu mangkuk sup itu sememangnya dijual pada harga RM10.

“Harga sebekas dijual pada harga RM10 dan bukannya RM5 seperti didakwa dan sup kosong sebekas yang diberikan anak secara tidak sengaja.

“Ada juga rakan saya menawarkan khidmat guamannya untuk membawa kes ini ke mahkamah, tetapi saya menolaknya secara baik kerana kes ini kecil walaupun ia mengganggu emosi saya,” ujarnya.

Tambahnya, dia hanya berharap kejadian yang terjadi menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya memilih untuk menegur dengan cara lebih baik dan bukannya menularkannya di media sosial.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang pengunjung bazar meluahkan rasa kecewa dengan tindakan peniaga di Semabok dekat sini yang didakwa enggan memulangkan baki wang diberikan dan memaksanya membeli dua bekas sup daging, kelmarin.

Lebih mengejutkan adalah apabila juadah tersebut turut didapati mempunyai telur lalat di bahagian tulang yang dibungkuskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI