PETALING JAYA – Umat Islam boleh qada solat yang tertinggal berimamkan imam solat Tarawih sekiranya dirasakan perlu.
Menurut penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI), ulama-ulama Mahzab Syafii bersepakat mengatakan perkara tersebut boleh dilakukan dan solat yang ditunaikan juga sah.
“Semua jenis solat kita boleh buat begini. Misalnya, imam sembahyang fadhu tetapi makmum berniat sembahyang sunat, begitu juga sebaliknya. Kita boleh buat begini, tidak salah.
“Bagaimanapun, ada dua jenis solat yang dikecualikan iaitu solat sunat gerhana dan solat jenazah kerana pergerakan dan bilangan rakaat tidak sama dengan solat lain,” jelasnya.
Tambah UAI, tidak ada masalah sekiranya makmum ingin mengqada solat subuh sewaktu melakukan solat tarawih.
“Imam dapat pahala solat tarawih, kita pula dapat pahala tunaikan qada solat Subuh dan dapat pula kelebihan berjemaah,” katanya.
Selain itu, pendakwah terkenal, Ustaz Muhaizad menegaskan, qada solat itu lebih utama berbanding mengerjakan solat-solat sunat.
“Jangan lupa, Tuhan tidak akan tanya sekiranya kita tidak solat tarawih. Tetapi, kalau kita tidak ganti solat yang terlepas dahulu, ini sudah pasti Tuhan akan tanya dalam kubur nanti.
“Kalau tidak ada masa, habiskan dahulu qada solat wajib baru tunaikan solat sunat. Boleh ikut imam solat tarawih tetapi niat untuk qada solat subuh. Hukumnya sah, saya juga pernah buat.
“Jangan penatkan badan kejar amalan sunat tetapi ibadah wajib pun kita masih tidak terbayar,” katanya.
Dalam pada itu, penceramah bebas, Ustaz Jafri Mahmoodi turut menegaskan supaya umat Islam mengutamakan ibadah yang wajib berbanding sunat.
“Dalam bab solat qada, ini wajib. Tarawih pula sunat. Utamakan qada solat yang pernah ditinggalkan kalau tidak mampu hendak buat semua.
“Contohnya, sewaktu orang lain solat tarawih, kita boleh berniat untuk qada solat Subuh.
“Jadi, kalau orang buat 20 rakaat solat tarawih, kita dapat qada 10 kali solat subuh,” jelasnya.
Bagaimanapun, tidak salah sekiranya seseorang itu mampu mengqada solat secara konsisten, tetapi masih mahu mendapatkan ganjaran Ramadan dengan mengerjakan solat tarawih.