SETIAP manusia tidak terlepas daripada berhadapan dengan penyakit yang boleh memberi kesan kepada tubuh badan.
Namun begitu, sistem imun adalah sesuatu yang penting kerana ia ditugaskan untuk membantu badan kita mempertahankan diri dan pulih daripada penyakit.
Sistem imun terdiri daripada jaringan sel, tisu dan organ yang berfungsi melindungi tubuh daripada organisma berbahaya seperti bakteria, virus dan parasit. Oleh itu, sistem imun yang sihat adalah sesuatu yang penting untuk kesihatan kita secara keseluruhan.
Bagaimanapun, sistem imun juga boleh menjadi lemah jika amalan diet tidak sihat diamalkan.
Ketua Pegawai Kesihatan dan Pemakanan, Herbalife, Dr. Kent L. Bradley berkata, diet tidak sihat dengan kandungan kalori tinggi daripada pengambilan gula, daging dan produk tenusu lazimnya dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti obesiti serta penyakit metabolik.
Menurutnya, pemakanan seperti ini juga boleh menyebabkan ketidakseimbangan ketara dalam sistem imun, dan menjadikannya lebih lemah.
“Amalan pengambilan makanan yang tidak berkhasiat boleh menggugat sistem pertahanan imun kita, sebagaimana penakluk asing boleh menembusi sesebuah kubu,” katanya.
Tambahnya, imun lemah juga boleh mendedahkan badan kita kepada penyakit baharu dan berulang.
Sementara itu, berdasarkan Laporan World Obesity Atlas 2023, Malaysia dijangka mencatatkan lonjakan kadar obesiti dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak.
Menjelang tahun 2035, dianggarkan bahawa 41 peratus dewasa akan mengalami obesiti.
Perangkaan ini memperlihatkan keperluan segera untuk menambah baik tabiat pemakanan dalam usaha menguatkan sistem imun kita.
Mengulas lanjut, Dr. Kent berkata, badan kita ibarat kubu yang direka cipta dengan baik.
Terangnya, setiap hari, badan kita secara senyap mempertahankan diri daripada pelbagai ancaman dan bahaya menerusi sistem pertahanan berlapis.
“Sistem ini mampu mempertahankan dan memulihkan badan dengan setiap cabaran yang mendatang.
“Sel-sel kita adalah seperti tentera pelindung, setiap satu mempunyai peranan khusus bagi membantu badan kita mempertahankan diri,” jelasnya.
Ujarnya lagi, jika tidak berjaya, sel-sel ini akan memulihkan badan apabila perlu.
Sebab itulah pemakanan sangat penting dan sel memerlukan nutrien yang diperolehi dalam bentuk makronutrien, mikronutrien dan fitonutrien.
Di bawah tiga kategori umum itu, kita boleh memahami kepentingan khusus protein, lemak asas sihat seperti omega-3, kuasa serat untuk menyokong mikrobiom kita.
Begitu juga dengan vitamin, mineral dan nutrien berasaskan tumbuhan yang mampu memastikan badan kita berada dalam keadaan optimum.
Dalam pada itu, Dr. Kent menjelaskan, walaupun masalah kekurangan zat jarang di negara maju, namun ramai orang di negara sedang membangun tidak mendapat vitamin asas yang secukupnya dalam jangka panjang.
Terangnya, pada 1976, seorang doktor mata di Indonesia berusaha mengurangkan bilangan kanak-kanak yang buta akibat kekurangan vitamin A.
“Beliau juga mendapati bahawa mereka yang diberikan vitamin A juga tidak meninggal dunia akibat jangkitan umum seperti campak atau cirit-birit.
“Pemerhatian ini telah membawa kepada pelbagai kajian dan akhirnya cadangan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi penggunaan vitamin A tambahan secara universal,” katanya.
Penemuan tersebut mengajar kita bahawa tidak kira sama ada vitamin A, D dan C, mineral seperti magnesium, zink serta antioksidan daripada tumbuhan atau protein, sel-sel badan kita memerlukan keseimbangan nutrien untuk menjalankan tugas.
Oleh itu, amalan diet seimbang menerusi pengambilan vitamin, mineral dan nutrien sambil mengekalkan gaya hidup sihat adalah cara hidup terbaik untuk memastikan sistem imun berfungsi dengan baik.