PASIR PUTEH – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan akan mengagihkan bungkusan makanan dan menyediakan khidmat membersihkan kediaman golongan asnaf di negeri ini yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.
Pengarah Yadim negeri, Mahadi Awang berkata, bagi fasa pertama pasca banjir, sebanyak RM30,000 dibelanjakan bagi membekalkan makanan dan barangan dapur serta projek membersihkan rumah warga emas, ibu tunggal dan warga miskin di semua daerah.
Menurutnya, sebanyak 3,021 keluarga telah dikenalpasti untuk diziarah dalam usaha membantu meringankan bebanan mereka selepas menghadapi banjir selain kekangan pergerakan akibat penularan wabak Covid-19.
“Program kebajikan ini turut melibatkan 100 keluarga nelayan di Pulau Suri dan Pulau Tokang di Tumpat yang perlu dibantu kerana mereka juga dibelenggu kepayahan hidup kerana tidak dapat turun ke laut pada musim laut bergelora.
“Asnaf dan mangsa banjir di Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat juga tidak diabaikan. Kita akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Jajahan dan penghulu tempatan bagi menjejaki mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ziarah Pasca Banjir Yadim di Kampung Gong Pasir di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim dan Ketua Penolong Ketua Jajahan, Muhammad Zaidi Mat Jusoh.
Rombongan Yadim itu menziarahi 22 keluarga yang menjadi mangsa banjir di Kampung Gong Pasir bagi menyampaikan sumbangan makanan kepada ketua keluarga.
Mahadi berkata, program ziarah yang sama akan diadakan di sekitar Batu Melintang, Jeli dan kawasan Kuala Krai dalam tempoh yang terdekat kerana penduduk kawasan rendah di pedalaman juga perlu disantuni khusus untuk meringankan bebanan mereka.
Mengulas lanjut mengenai program membersih kediaman mangsa banjir, Mahadi berkata, ia akan melibatkan sukarelawan daripada 12 badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah menyatakan kesediaan untuk turun ke lokasi yang terpilih.-K!ONLINE