SEOUL – Seorang ipar perempuan pemain antarabangsa Korea Selatan, Hwang Ui-jo dihukum penjara tiga tahun hari ini kerana menyebarkan video lucah bintang bola sepak tersebut di internet dan cuba memeras ugut mangsa.
Penyebaran rakaman itu mencetuskan siasatan berasingan polis ke atas Ui-jo yang merupakan penyerang kelab Nottingham Forest mengenai sama ada ia dirakam secara haram dan tanpa kebenaran.
Ui-jo menafikan semua pertuduhan, manakala pihak pendakwa raya masih belum mendakwanya secara rasmi.
“Ipar perempuan itu menyiarkan klip video berkenaan walaupun menyedari bahawa ia akan menjadi tular,” kata Mahkamah Daerah Seoul Pusat dalam keputusannya seperti laporan agensi berita Yonhap.
Hukuman penjara itu setahun lebih pendek daripada yang diminta oleh pendakwa raya.
Pengakuan bersalah defendan dan rayuan Ui-jo supaya hukuman ringan dikenakan menjadi faktor untuk mahkamah membuat keputusannya.
“Saya mendatangkan kemudaratan besar terhadap mangsa dan saya benar-benar menyesal atas apa yang berlaku,” kata defendan dalam keterangan terakhirnya.
Ui-jo yang berumur 31 tahun menjaringkan 19 gol dalam 62 penampilan untuk Korea Selatan. – AFP