SAARBRUECKEN – Selepas melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala DFB-Pokal, pasukan divisyen ketiga Jerman, Saarbruecken mula memasang hajat lebih besar untuk mara ke pentas final.
Pada aksi suku akhir Rabu lalu, pasukan bawahan itu terus melakar kejutan apabila menyingkirkan wakil Bundesliga, Borussia Monchengladbach selepas mencatat kemenangan tipis 2-1.
Penyerang Saarbruecken, Kai Brunker melaungkan keyakinan skuad kendalian Rudiger Ziehl itu sudah sebelah kaki berada di pentas final memandangkan mereka akan bermain di laman sendiri pada aksi separuh akhir bertemu Kaiserslautern.
“Saya sangat bangga dengan semangat juang yang ditampilkan rakan sepasukan sepanjang perjalanan kami untuk sampai ke separuh akhir. Kami berjaya menyingkirkan pasukan-pasukan seperti Bayern Munich, Frankfurt dan Gladbach.
“Apa yang pasti, kami sudah pun selangkah berada di perlawanan akhir, hanya satu lagi halangan yang perlu ditempuh. Bagi saya, pencapaian ini cukup menakjubkan untuk kami,” katanya.
Sementara itu, Ziehl menganggap pencapaian yang dilakar anak-anak buahnya sebagai perkara ajaib memandangkan mereka sudah menewaskan pasukan-pasukan gergasi pada perlawanan sebelum ini.
“Bagi saya, pencapaian ini boleh dianggap seperti ‘kisah dongeng’ tetapi ia masih memerlukan kualiti untuk melakukannya. Saya fikir kami memang layak untuk melangkah ke separuh akhir,” ujarnya. – AGENSI