PETALING JAYA – Tular di media sosial sejak semalam memaparkan stoking yang tertera kalimah Allah dijual di sebuah kedai serbaneka.
Perkara itu didedahkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di Facebook beliau semalam.
Firdaus turut mempersoalkan tindakan pengurusan kedai tersebut yang dianggap melampaui batas apabila secara terbuka menawarkan produk yang menyentuh sensitiviti orang Islam.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat segera perkara tersebut.
“Bagaimana stoking yang tertulis ‘Allah’ ini boleh dijual di sebuah kedai serbaneka di Sunway? Terlepas pandang atau kurang sensitif?
“Harap pihak berkuasa siasat segera,” tegasnya.
Sementara itu, selepas beberapa jam isu tersebut dibangkitkan Firdaus serta mendapat kecaman teruk oleh netizen, pengendali kedai rangkaian serbaneka terbabit tampil membuat permohonan maaf.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihaknya memaklumkan tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.
“Kami juga sudah berhubung dengan mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini.
“Terima kasih di atas keprihatinan warga umum yang telah menegur dan memberi komen terhadap isu ini, sekali lagi kami memohon maaf dan akan memastikan ia tidak berlaku lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE.