PETALING JAYA – Tindakan menyenaraihitam artis seperti dilakukan terhadap Ruhainies bukan berunsur peribadi, sebaliknya penerbit, Datuk A. Aida berbuat demikian atas prinsip mahu memberikan pengajaran terhadap pelakon bermasalah.
Kata pemilik syarikat A.Aida Production itu, ketegasan sama wajar diikuti penerbit lain bagi memastikan industri seni bersih daripada anak seni yang tidak menjaga nilai moral serta profesionalisme dunia penerbitan.
“Bukan baru kali ini saya ‘blacklist’ artis dan tindakan tegas saya bukan untuk menghukum, cuma lebih kepada bagi pengajaran agar mereka yang bermasalah ini bertanggungjawab atas kesilapan sendiri, manakala penggiat seni lain pula lebih berjaga-jaga.
“Produser lain pun jangan takut untuk buat tindakan serupa kerana kalau nak industri kita dipandang tinggi, kita kena bertegas. Era saya berlakon dulu kalau artis bermasalah akan disenaraihitam tiga hingga empat tahun.
“Saya pun tiada masalah dengan Ruhainies, bahkan dia pelakon kesayangan saya bermula dengan drama Hello, Mr Perfect! sekitar tahun 2015 sampai sekarang banyak drama bawah produksi sama. Prinsip tetap prinsip,” katanya ketika dihubungi HibGlam sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE