IPOH – Sebanyak 1,248 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi bernilai kira-kira RM3,120 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) dari sebuah premis di Tanjung Rambutan, di sini tengah hari semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, semasa uji beli dilakukan, juruwang memaklumkan bahawa minyak masak habis dijual dan penguat kuasa KPDN diminta untuk datang semula pada sebelah petang.
“Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, pegawai serta penguat kuasa beruniform melakukan pemeriksaan menyeluruh dan menemui sejumlah minyak masak peket yang disimpan di dalam stor premis berkenaan.
“Susulan itu, satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberi kepada penyelia premis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan seseorang selain dari badan korporat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
“Bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini apabila disabitkan pula, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE