fbpx

Pembangkang pertikai penguasaan bahasa Melayu Menteri Pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sidang Dewan Rakyat kecoh sekejap semasa King Sing menggulung perbahasan Titah Diraja.

KUALA LUMPUR – Kekecohan tercetus pada sidang Dewan Rakyat hari ini apabila penguasaan bahasa Melayu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dipertikai oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mendakwa penerangan King Sing ketika menggulung perbahasan Titah Diraja tidak jelas dan dibimbangi boleh mengelirukan Dewan Rakyat.

“Yang Berhormat (YB) cakap betul-betul. Saya tak berapa jelas. Sebab bukan saya saja (seorang), tapi ramai yang tak jelas. Cakap bahasa jelas sikit YB,” katanya.

Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) turut bangun mencelah dan mendakwa beliau juga tidak memahami perkara diperkatakan King Sing.

“Macam mana kita nak faham. Bahasa Melayu teruk. Kita tanya lain jawab lain,” katanya.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) juga bangkit dan mendakwa beliau tidak faham dengan peneragan King Sing.

“Lebih baik suruh pegawai tulis jawapan bertulis dengan bahasa yang boleh semua faham,” katanya.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bagaimanapun tidak bersetuju dengan dakwaan Ahli Parlimen pembangkang terbabit.

Katanya, beliau faham perkataan King Sing dan mendakwa Ahli Parlimen pembangkang sengaja cuba membuang masa.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor juga mengakui memahami penjelasan King Sing dan mempersoalkan mengapa ada Ahli Parlimen tidak dapat memahaminya.

Dalam pada itu, King Sing menjelaskan, pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan negara tiada kena mengena dengan isu bangsa atau agama.

Jelas beliau, pengiktirafan makanan itu dibuat mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan meminta semua pihak supaya menghormati kepelbagaian budaya dan agama di negara ini.

“Bak kut teh bukan satu makanan yang hari ini baru ada. Kita tahu bak kut teh dalam masyarakat ini ada yang halal, yang tidak halal, bak kut teh vegetarian pun ada.

“Perdana Menteri menubuhkan Kerajaan Madani, semua kaum kita jaga. Saya rasa tidak payah jelaskan panjang lebar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI