PEMAIN beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik memberi gambaran untuk mengulangi pencapaian 2019 dengan melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Seluruh England yang sedang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham.
Dia yang bergandingan dengan Aaron Chia sudah pun menempah tempat ke pusingan kedua selepas mengenepikan cabaran rakan sepasukan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di pusingan pertama malam kelmarin menerusi kemenangan 21-19, 21-17.
Justeru, bekas juara dunia itu memasang hasrat untuk sekurang-kurangnya melangkah ke perlawanan akhir pada edisi kali ini, sekali gus mampu menjadi tonik terbaik menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 Julai depan.
“Saya sangat gembira dan teruja untuk memenangi aksi pusingan pertama di sini, kerana Seluruh England sentiasa menjadi tempat paling istimewa kepada kami. Kami pernah mara ke final, jadi mahu cipta sesuatu sekali lagi,” katanya kepada BWF.
Pada aksi final 2019, hasrat Aaron-Wooi Yik untuk merangkul kejuaraan tidak tertunai apabila mereka tewas 21-11, 14-21, 12-21 kepada beregu legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Untuk rekod, belum ada beregu lelaki negara dapat menamatkan kemarau kejuaraan di Seluruh England selepas kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara tersebut pada edisi 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
Sementara itu, Aaron menjelaskan, dia dan Wooi Yik menganggap pertemuan dengan Sze Fei-Izzuddin seperti menjalani latihan dan ia nyata membantu mereka bagi menewaskan beregu No. 19 dunia itu.
“Sebenarnya bukan perlawanan mudah bertemu mereka hari ini (kelmarin) dan ia dapat dibuktikan apabila mereka mampu mengejar walaupun sudah jauh ketinggalan. Bagaimanapun, kami berjaya dapatkan kemenangan.
“Saya hanya anggap kami seolah-olah sedang bermain ketika sesi latihan di Malaysia dan ia membantu kami untuk bermain seperti biasa,” ujarnya.
Menjelang aksi pusingan kedua hari ini, Aaron-Wooi Yik dijadualkan bertemu beregu No. 39 dunia dari Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei yang menewaskan Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman dari Kanada 21-10, 21-14.