MANCHESTER – Penjaga gol Manchester City, Ederson, bakal terlepas pertembungan penting menentang Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates hujung bulan ini berikutan kecederaan paha dialami ketika ini.
Ederson, 30, mengalami kecederaan itu selepas bertembung dengan penyerang Liverpool, Darwin Nunez sehingga menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan tersebut yang berjaya disempurnakan oleh Alexis Mac Allister ketika seri 1-1 di Anfield pada Ahad lalu.
Bintang skuad antarabangsa Brazil itu dijangka terlepas beberapa perlawanan dalam tempoh tiga hingga empat minggu termasuk menentang The Gunners yang boleh menentukan peluang City memburu kejuaraan EPL musim ini.
Ederson juga akan terlepas aksi suku akhir Piala FA menentang Newcastle United awal pagi Ahad ini selain perlawanan persahabatan antarabangsa antara Brazil menentang England dan Sepanyol pada 23 serta 26 Mac ini.
Penjaga gol kedua, Stefan Ortega bakal mengisi kekosongan di bahagian gawang The Citizens untuk aksi suku akhir Piala FA menentang Newcastle hujung minggu ini dan bersedia memberikan prestasi sehabis baiknya.
“Ini adalah saat istimewa apabila dimasukkan bermain dalam perlawanan besar seperti ini (merujuk kepada aksi menentang Liverpool selepas menggantikan Ederson). Seluruh dunia menyaksikan perlawanan ini dan ia adalah perasaan yang menyenangkan.
“Saya menikmati setiap saat berada di atas padang. Ia bukan perkara baharu, sebab itu saya sentiasa pastikan diri dalam keadaan bersedia,” kata Ortega.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Pep Guardiola itu berada di tangga ketiga, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu EPL, Arsenal yang memiliki kelebihan jumlah perbezaan gol selepas terikat 64 mata dengan Liverpool di tempat kedua. – AGENSI