PETALING JAYA – “Anak-anak tak tahu dan Aliff sentiasa boleh jumpa mereka tanpa syarat.”
Demikian dikongsi pelakon Bella Astillah yang memberitahu dua anaknya iaitu Mohd. Ayden Adrean dan Ara Adreanna tidak mengetahui tentang kemelut rumah tangga yang dihadapinya dengan suami, Aliff Aziz ketika ini.
Bella atau nama penuhnya berkata, Dayang Nabellah Awang Astillah, 31, berkata, dia juga tidak meletakkan sebarang syarat sekiranya Aliff ingin bertemu dengan dua anak mereka.
“Mereka tidak tahu apa-apa sebab saya selalu bagi alasan ayah mereka kerja dan mereka pun tak main telefon manakala Ayden pula bersekolah di sekolah Cina, jadi dia tak dengar sebarang berita.
“Saya cakap pada Aliff dia sentiasa boleh jumpa anak-anak. Saya takkan tetapkan apa-apa syarat.
“Belum masanya untuk cerita pada mereka sebab anak kedua baru empat tahun dan dia tidak faham situasi. Anak sulung pun saya tak nak beritahu sebab dia baru dua hari mula sekolah. Bella rapat dengan dia jadi dia tidak bertanya,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga berharap perpisahan ini dapat berlangsung dengan baik dan menjadi titik permulaan untuk memperbaiki setiap kekurangan diri.
“Jumaat ini ialah hari jadi saya. Sedih tetapi saya anggap semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.
“Saya cuma berharap perkara ini berlalu dengan cepat dan sama-sama menjalani hidup masing-masing.
“Semoga dengan apa yang terjadi, dapat perbaiki diri masing-masing. Ini juga pesanan untuk diri sendiri juga,” katanya lagi.
Terdahulu, Bella memfailkan permohonan perceraian terhadap suami, Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur kelmarin.
Sebutan kali pertama berlangsung hari ini namum kelibat Aliff tidak kelihatan kerana terikat dengan penggambaran.
Sejak minggu lalu, nama Aliff menjadi bualan hangat selepas ditangkap khalwat dengan pelakon Ruhainies di sebuah kondominium mewah di ibu negara awal pagi Sabtu.
Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan dan bakal dibicarakan di mahmakah dalam tempoh terdekat.
Imbas semula, Bella dan Aliff pernah bercerai pada Mei 2019 namun tidak lama selepas itu, mereka rujuk semula pada tahun sama ketika masih dalam tempoh iddah. – KOSMO! ONLINE