KUALA LUMPUR – Beberapa ahli keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Lorong Delapan Kampung Pandan, malam semalam sempat bergegas mengejutkan beberapa warga emas sebelum api bertukar marak.
Menurut salah seorang ahli keluarga ingin dikenali sebagai Darshu, 29, dia dan adik-beradiknya sedang berada di kedai makan berdekatan sebelum melihat asap berkepul-kepul dari arah rumah.
Ujarnya yang juga seorang peniaga, mereka kemudian bergegas berlari dan terkejut melihat api sedang marak terbakar dari arah unit rumah yang terletak di bahagian belakang sekali.
“Ketika itu, ada tiga warga emas sedang tidur. Kami sempat kejutkan kerana rumah berada di bahagian depan. Semua panik kerana asap makin tebal dan lihat api marak.
“Kami berlari keluar tanpa sempat ambil apa-apa dokumen penting. Tak lama lepas tu, kabel elektrik yang disambar api jatuh atas rumah sebelum tong-tong gas juga meletup.
“Setakat ini kami amat terkejut dengan kejadian ini dan tidak sangka rumah yang diduduki kami sekeluarga selama tiga generasi bersamaan lebih 50 tahun hancur musnah macam tu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Setakat ini, Darshu bersama semua ahli keluarganya sedang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Rakyat Taman Maluri di sini, sehingga urusan penempatan selanjutnya selesai.
Sementara itu, menurut Ketua Kumpulan 3 Bencana Kuala Lumpur Jabatan Kebajikan Masyarakat, Samsul Affindi Abdurrahman, PPS yang dibuka sejak pukul 1.30 pagi semalam menerima pendaftaran seramai 56 mangsa.
“Mangsa-mangsa tersebut terdiri daripada 16 keluarga. 20 daripadanya adalah lelaki manakala 23 lagi adalah wanita.
“Kanak-kanak lelaki pula enam orang, kanak-kanak perempuan (tiga), warga emas (tiga) dan seorang bayi lelaki.
“Keadaan mereka setakat ini dilihat masih keletihan. Tambah ada yang menguruskan anak bersekolah. PPS akan dibuka sehingga mendapat kata putus daripada pihak yang menguruskan penempatan mangsa,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebanyak 15 buah rumah setinggan dilaporkan terbakar dalam satu kejadian di Lorong Delapan Kampung Pandan, malam semalam.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.51 malam.
Katanya, operasi melibatkan seramai 48 anggota bersama 11 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Hang Tuah, BPP Keramat, BBP Sentul, BBP Bandar Tun Razak dan BBP Cheras.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati berlakunya kebakaran rumah setinggan melibatkan 15 buah unit rumah berkeluasan 300 kaki persegi.
“Tiada mangsa dan kebakaran padam sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ujarnya, punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE